Assalamu`alaikum wr wbk
Hadis R. Muslim mengingatkan kita pesanan Rasulullah SAW: “Suruhlah
anak-anakmu mengerjakan solat bila mereka telah berusia 7 tahun, dan
pukullah jika meninggalkannya bila mereka telah berumur 10 tahun,
dan pisahkanlah mereka di tempat tidur.”
- Mengapa 7 tahun?
- Mengapa tidak 5, 12, 15
atau 21 tahun?
- Mengapa tentang “solat”?
Mengapa tidak lain yang lebih “ringan”?
Pasti ada sebab-sebab yang
afdhal sebagai dalil mutlak yang memerlukan kita memulakan anak-anak
solat dari usia 7 tahun. Pasti ada sebab-sebab agung bahawa, bila
berusia 7 tahun, anak sudah mampu melakukan solat sebagai penghayatan
hariannya. Pasti sebab-sebab itu telah didasarkan kepada sifat-sifat
semula-jadi bagi manusia yang mampu diperolehi pada usia 7 tahun.
Jika tidak, anjuran Hadis ini boleh membuat ramai ibubapa merasa gelisah
dengan kerungsingan: “Macam mana ni, nak bagi anak solat pada
usia 7 tahun! Ia masih budak-budak lagi … apa!”
Insya-Allah, melalui artikel
ini saya akan menerangkan dalil-dalilnya supaya kita yakin dan bersyukur
bahawa anak-anak yang telah mula melakukan solat harian dari usia
7 tahun akan mudah dibesarkan dengan penuh barakah dari segi ilmu,
akhlak, ibadah dan kebajikannya.
MENGAPA
“SOLAT”?:
Solat adalah tiang agama. Solat perisai hidup. Solat mengajar anak
menjaga masa (waktu-waktu solat). Solat memberi peluang untuk sujud
dan berdoa. Solat mengindahkan kehidupan kerana wajah indah adalah
“taqwa”.
Solat juga memerlukan kita
mempunyai beberapa hakikat dan sifat tertentu, khususnya:
- KITA FAHAM:
Faham bahawa kita beragama Islam, dan sebab kita dijadikan adalah
untuk sujud ke hadrat Ilahi. [Surah Adz-Zaariyat 51 Ayat 56: “Ku
ciptakan jin dan manusia itu hanyalah supaya mereka sujud (memuja)
kepada-Ku”]
- KITA YAKIN: Yakin
kerana kita telah “faham”, dan “keyakinan”
adalah asas keimanan.
- KITA RELA:
Bila sudah faham dan yakin, kita sedar “merelakan diri”,
sedia dan terima.
- KITA AZAM:
Dengan rela, faham dan yakin, kita mudah ceria, berminat dan “berazam”.
- KITA SYUKUR &
JAGA: Kerana begitu azam kita pasti dapat mengecap keindahan
solat sehingga kita rasa amat syukur dan berusaha menjaga ibadah
dan kehidupan kita dengan membanyakkan yang “maaruf”
dan menghindarkan diri kita dari yang “mungkar”.
Sekiranya sifat-sifat ini diperlukan
agar anak faham dan senang dimulakan bersolat dari usia 7 tahun, mampukah
ia membina sifat-sifat serta hakikat-hakikat itu pada usia 7 tahun?
Ya, boleh kerana dari ilmu
kajian sains, tahap pembinaan jentera asas akal (otak-saraf manusia)
telah matang mencapai lebih dari 95% pada usia 7 tahun. Pencapaian
tahap pembentukan inilah yang memberi anak kita landasan untuk mampu
berfikir, memilih, merasa yakin, berazam, dan mudah mirip untuk merasa
syukur serta menjaga kebaikan dirinya, insya-Allah.
Pakar-pakar Sains Neurologi
(ilmu tentang otak-saraf) telah lama menemui tahap-tahap pembangunan
dari detik hamil hingga usia 6 tahun:
Apakah yang dimaksudkan dengan tahap 25% atau 50% atau 85% atau 95%?
Berikut adalah rajah yang menerangkan apa yang berlaku kepada sistem
otak-saraf anak-anak kita:
Setiap satu sel neuron mampu
membina cabang2 dendrit, bercambah menghasilkan rangkaian2 yang menyimpan
dan menyusun maklumat.Melalui rangkaian2 ini otak-saraf berfungsi
membina dan menyusun ilmu, pengalaman, dan berbagai kemampuan yang
memberi manusia berbagai sifat serta kebolehan untuk hidup sempurna.
Lebih awal proses ini berlaku, lebih sempurna dan kukuh ilmu, pengalaman
dan kebolehan yang disusun itu.
Alhamdulillah, melalui proses-proses
ini, manusia, secara fitrah, telah diberikan jentera otak-saraf yang
merupakan landasan untuk anak-anak kita membina ilmu, amalan dan kebajikan
pada paras tinggi, dan landasan itu amat besar. Sila lihat perbandingan
di antara sistem-sistem simpinan:
Sebagai sistem simpanan maklumat,
otak-saraf manusia mempunyai kemampuan yang amat besar jika dibanding
dengan sistem-sistem lain yang direka oleh manusia:
- Otak Manusia - 125,500,000,000,000
- Arkib Negara Amerika - 12,500,000,000,000
- IBM 3850 MTC - 250,000,000,000
- Encyclopaedia Britannica (19 vol) - 12,500.000.000
- Disk Magnetik - 313,000,000
- Disket Lentur (Floppy Disk) - 2,500,000
- Buku - 1,300,000
Dari rajah-rajah ini kita dapat sama-sama
melihat bahawa otak-saraf merupakan “kemudahan” (anugerah
Tuhan) yang terlibat dalam proses pembangunan “Anak Cemerlang,
Anak Mulia”, dan potensinya amat besar. Inilah sifat mutlak
yang memudahkan pendidikan anak pada tahap yang tinggi sehingga pada
usia 7 tahun, anak-anak mampu mencapai pembangunan pada tahap lebih
dari 95%. Hal ini amat selaras dengan panduan Al-Quran tentang sempurnanya
bentuk manusia yang telah dijadikan Tuhan:
Dalil2 Al-Quran:
- Dan segala yang diciptakanNya
dibuatNya dengan sebaik-baiknya, dan dimula menciptakan manusia
dari tanah. (As-Sajadah 32:7)
- Sesungguhnya Kami telah
mencipta manusia dalam rupa yang amat baik. (S At-Tiin 95:4)
- Sesungguhnya telah kami
muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan,
Kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka
dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan, dengan kelebihan yang
sempurna. (Surah Al-Israa’ 17:70)
- Hai manusia! Apakah yang
memperdayakan engkau terhadap Tuhan engkau Yang Pemurah? …
Yang menciptakan engkau, menyempurnakan kejadiaan engkau dan membuat
engkau dengan ukuran yang seimbang. .. Menurut bentuk yang dikehendakiNya,
engkau disusunNya (Al-Infithar 82:6-8)
MANUSIA
TELAH DIBERI ILMU & PETUNJUK
Saya juga yakin anak “harus mampu sempurna” kerana manusia
(Nabi Adam a.s.) telah diajar ilmu dan disediakan petunjuk (agama
dan akal):
Dalil2 Al-Quran
- Dan Tuhan mengajarkan kepada
Adam nama-nama benda segalanya (S. Al-Baqarah 2:31)
- Maha suci Engkau. Kami
tidak mengetahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada
kami; sesungguhnya Engkau Maha Tahu dan Maha Bijaksana (S. Al-Baqarah
2:32)
- Hadapkanlah wajahmu dengan
lurus kepada agama ciptaan Allah, yang dijadikanNya manusia sesuai
dengan agama itu (S. Ar-Rum 30:30)
- Sesungguhnya agama (yang
diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam (S. Ali Imran S. 3:19)
- Sesungguhnya pada yang
demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan
akalnya (S. Ar-Rum 30:24)
- Sesungguhnya Al-Quran ini
memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (S. Al-Isra 17:9)
MAMPU
SEMPURNA PADA USIA 7 TAHUN
Oleh itu, saya begitu yakin bahawa anak-anak kita, pada usia 7 tahun,
seharusnya sudah mampu memperolehi sifat-sifat tingga (secara mutlak)
sehingga mereka mudah:
- FAHAM:
Bahawa kita beragama Islam, dan faham perlunya “sujud”
[S.Adz-Zaariyat 51:56]
- YAKIN:
Kerana kita telah “faham”, keyakinan menjadi asas keimanan.
- RELA: Kerana
faham dan yakin, kita “rela” serta betul-betul sedia
dan terima.
- AZAM:
Kerana faham, yakin dan rela, kita lebih mudah ceria, berminat dan
“berazam”.
- SYUKUR & JAGA:
Kerana azam kita mudah mengecap keindahan solat sehingga kita rasa
syukur dan berusaha menjaga ibadah dan kehidupan berasaskan “maaruf
nahi anil mungkar”.
SEDIKIT2
& BERTAHAP-TAHAP
Tahap pencapaian pada usia 7 tahun sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi
jika kita mulakan pendidikan anak dari tahap-tahap seawal mungkin.
Inilah sebabnya kita perlu adakan usaha pendidikan awal bagi kaum
Muslimin dengan memanfaatkan peluang membina asas-asas pendidikan
yang kukuh dari masa anak berada di dalam rahim ibunya, dan, selepas
anak itu dilahirkan, mendidiknya secara sedikit-dikit, bertahap-tahap,
dan secara berkesinambungan:
Sekiranya anak-anak kita dapat
dididik dengan baik secara bertahap-tahap, dari awal, mereka akan
mudah disempurnakan ilmu, akhlak, amalan, ibadah dan kebajikan selapas
usia 7 tahun. Rajah berikut menunjukkan tahap-tahap utama proses pendidikan
hinggalah usia “Akil Baligh”.
Dalam rangka proses pendidikan
ini, “Akil Baligh” amat utama. Anak yang sempurna penyediaannya
untuk akil baligh akan lebih selamat bila ia menjejak usia remaja.
Bagi semua ini, SOLAT merupakan faktor utama, dan faktor ini perlu
dihasilkan pada usia 7 tahun. Insya-Allah, bila anak sudah biasa dengan
solat pada usia 7 tahun, ia akan mudah melazimkan dirinya dengan solat
pada usia 10 tahun (tanpa didenda), dan, jika ini terpacak sebagai
amalan hariannya, insya-Allah, Fardhu ‘Ain anak akan sempurna,
dan usia remajanya penuh dengan barakah, insya-Allah.
TUJUH
TAHUN & DUNIA SEKOLAH
Usia 7 tahun juga merupakan detik penting dari sudut kemasyarakatan
kerana pada usia itu, anak kita sudah mula menjejak dunia persekolahan.
Dalam suasana sekolah, ia seharusnya sudah mampu berturtur dengan
baik, membaca, sudah hafal berbagai surah-zikir-doa, menulis, melukis,
pandai menjaga diri, mempunyai berbagai ilmu berguna yang luas, bersifat
baik, senang menjayakan dirinya dalam persekolahan, serta menyenangkan
kehidupan ibubapanya.
Alhamdulillah, saya telah berpeluang
menemui ramai ibubapa yang telah mendidik anak-anak dari kecil, dan
anak-anak itu telah memperolehi kecerdikan, ilmu dan akhlak yang amat
tinggi:
- Pada usia 3-4 tahun mereka
telah faham banyak fakta-fakta sains, bahasa, Matematik, kesihatan,
protin, karbohidrat, ilmu alam, lebih dari apa yang biasa difahami
oleh anak-anak yang tidak dididik dari awal.
- Mereka bertutur dalam dua
bahasa dengan fasih dan penuh adab serta makna. Tulisan dan lukisan
mereka amat baik. Mereka mampu membaca Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris, dan mampu membaca Iqra’ (III-VI) pada usia 5-6 tahun.
- Perbendaharaan ilmu mereka
amat luas. Mereka tahu amphibia, mamalia, nama-nama pokok, mengapa
daun berwarna hijau, apa erti photosynthesis, chlorophyll, nama-nama
awan, mengapa awan penting, jenis-jenis kereta, negeri, ibukota,
bendera, dan banyak lagi. Hal ini tidak menjadi masalah kerana mereka
berminat mempelajari berbagai bahan-bahan ilmu.
- Membuat kerja-kerja rumah,
termasuk membantu bibi memasak, mengemas rumah, menolong ibubapa,
membasuh kereta, menyusun buku-buku di rumah, menjahit, pergi pasar,
dan menolong menjaga adik-adik ~ semua ini sudah mula menjadi amalan
harian.
- Mereka kenal masuknya waktu
solat, apa itu azan, melakukan solat, berwudhu, tahu sejadah, arah
kiblat, erti saf, solat berjemaah, menghafal doa Iftitah, zikir-zikir
solat, surah-surah lazim, doa-doa harian dan salawat sudah juga
menjadi kegemaran mereka.
- Kerana mereka berminat
dan berkemampuan tinggi, mereka mampu didedahkan kepada berbagai
ilmu lanjutan. Lebih banyak, lebih tinggi kemampuan mereka memahami
lebih banyak ilmu-ilmu baru pada tahap yang lebih tinggi serta bidang
yang amat luas dan berbagai. Proses ini dilakukan tanpa disekat
oleh usia mereka. Yang penting mereka ceria, faham dan minat belajar.
Dengan pencapaian yang begitu
tinggi dan luas (pada usia 5, 6 atau 7 tahun) anak-anak ini pasti
akan mudah memahami apa sahaja yang bakal diajar di sekolah. Insya-Allah,
mereka akan pasti mampu menjayakan diri mereka pada tahap-tahap sekolah
bermula usia 7 tahun. Semua ini pula dilandaskan dengan akhlak, iman
dan budi-pekerti yang baik semata-mata kerana telah dibiasakan melakukan
solatnya dari usia 7 tahu. Wallahu`alam bissawab.
Moga-moga usaha kita mendidik
anak-anak kita akan sentiasa diredhai dan dipermudahkan Allah SWT.
Amiin.
Wassalam
Mansor Hj Sukaimi
Neptune Court
nurysingapore@pacific.net.sg
More Articles
>>
|
Best view in
IE4+ with screen area 1024x768 pixels |